Tuesday 24 January 2012

Penulis Islam Contoh


 
(dipetik dari buku Suri Tauladan di Sepanjang Jalan Dakwah oleh Mustafa Masyhur)

  1. Bijak dalam memilih tajuk yang sesuai untuk tujuan berdakwah, menghuraikan tajuk itu dengan gaya bahasa yang baik dan jelas yang maknanya sampai ke hati dan akal manusia dan boleh memberi kesan yang dikehendaki.
  2. Berpegang dengan kefahaman Islam yang betul dan jauh dari penyelewengan dan salah faham. Perlu sentiasa menyedari, berapa banyak dosa akan ditanggung jika pembaca-pembaca terpengaruh dengan fahaman yang salah.
  3. Penulis Muslim yang berbakat dan berpeluang melibatkan diri dalam bidang sebaran am, mestilah memanfaatkan sepenuhnya kebolehan yang dianugerahkan kepadanya untuk tujuan menyebarkan kebenaran kepada khalayak umum.
  4. Cerpenis dan novelis Muslim hendaklah mengemukakan pendapatnya dan penyelesaian kepada masalah masyarakat semasa bagi semua peringkat, dari kanak-kanak, pemuda dan pemudi, orang dewasa lelaki dan perempuan dengan cerita yang mempunyai tarikan dan ada kesannya.
  5. Bagi yang berkebolehan dalam penciptaan puisi dan syair juga nasyid, sebolehnya memberi sumbangan dengan mencipta nasyid-nasyid dan puisi yang menimbulkan semangat berjuang di kalangan pemuda dan remaja juga seawal usia kanak-kanak lagi kerana sudut ini begitu halus dalam mempengaruhi jiwa manusia.



Tips untuk Memulakan Usaha Menulis
  1. Banyakkan membaca apa sahaja bahan atau karya yang baik dan membina. Buku, akhbar, majalah mahupun novel. Ini akan membentuk idea dalam minda kita tentang bagaimana kita harus memulakan gaya penulisan.
  2. Sentiasa berfikiran positif dan terbuka dan sentiasa menerima cadangan mahupun pandangan dan teguran. Dengan meneroka pandangan orang lain, kita akan mudah meramalkan bentuk penulisan yang diminati dan digemari pembaca.
  3. Rajin meneliti telatah kehidupan insan dan gemar menganalisa alam yang terbentang dan semua ini dapat merangsang ilham.
  4. Seperti juga bertutur, menulis akan menjadi jika kita dapat menguasai bahasa dengan baik. Cuba sedapatnya ikuti perkembangan bahasa dengan membaca dan meneliti majalah-majalah terbitan DBP seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Pelita Bahasa.
  5. Tentukan kumpulan sasar yang ingin  kita sampaikan bahan karya kita bersesuaian dengan  kemampuan dan gaya olahan kita.
  6. Bijak menguruskan masa; urus waktu tidur supaya tidak berlebihan. Bangun awal dan terus menulis dalam waktu yang tenang. Menulis berterusan setiap hari dan dijadualkan dengan menganggap menulis satu tanggungjawab, bukannya hobi. Elakkan membuang masa dengan banyak bersosial dan omongan kosong.
  7. Sediakan secukupnya buku rujukan mengikut bidang tumpuan kita berkarya. Sediakan tempat selesa dan sesuai untuk menulis, menulis dan menulis...
  8. Bagi memastikan kegigihan kita berterusan, mesti bina semangat yang mantap dalam jiwa dengan sentiasa bermunajat.
  9. Tingkatkan kemahiran dan ilmu penulisan dengan meluangkan masa mengikuti kursus-kursus penulisan. Perlu diingat tidak ada yang disebut 'born writer' tanpa ilmu dan latihan.

Sumber: majalah haluan